Terima Kasih

Welcome to my blog. Leave a comment here. Thank You

Rabu, 28 November 2012

KAJIAN TINDAKAN - MASALAH TULISAN TAHUN 1

PENGENALAN
1.0 DEFINISI KAJIAN TINDAKAN
Menurut Marion Dadds dalam bukunya yang bertajuk Passionate Enquiry and School Development: A Story About Teacher Action Research, definisi kajian tindakan bermaksud sesuatu yang berorentasikan kepada perubahan, berorentasikan kepada melakukan sesuatu yang berguna dengan menggunakan pengetahuan yang telah diperolehi melalui proses-proses kajian. Paradigma kajian tindakan ialah usaha atau percubaan untuk memperbaiki fenomena atau masalah yang berlaku di persekitaran sendiri (Bassey, 1990).
Kajian tindakan juga adalah merupakan satu pendekatan untuk memperbaiki atau meningkatkan pendidikan melalui perubahan yang menggalakkan guru-guru menjadi lebih sedar, kritis dan bersedia untuk mengubah amalan-amalannya. Usaha guru untuk memperbaiki pengajaran mereka secara sistematik melalui kitaran yang melibatkan proses perancangan, pelaksanaan, pemerhatian dan refleksi (Kember & Gow, 1992). Kajian di dalam bilik darjah yang dilakukan oleh guru-guru bagi membolehkan mereka meneroka isu-isu pengajaran bagi menambahbaikkan amalan tersebut (Cochran-Smith Lytle, 1990).
Kajian tindakan juga adalah satu kajian yang sistematik oleh sekumpulan guru untuk mengubah dan memperbaiki amalan pendidikan melalui tindakan mereka sendiri serta refleksi terhadap kesan atau akibat tindakan tersebut (Ebbut, 1985). Satu pendekatan untuk memperbaiki atau meningkatkan kualiti pendidikan melalui perubahan dengan menggalakkan guru-guru menjadi lebih sedar tentang amalan mereka sendiri, menjadi kritis terhadap amalan tersebut, serta bersedia untuk mengubah (McNiff, 1988).
2.0 KAJIAN TINDAKAN
MENGKAJI PUNCA MASALAH TULISAN TIDAK KEMAS
2.1 REFLEKSI
Masalah tulisan yang tidak kemas bagi beberapa orang pelajar Tahun 1 menyebabkan hasil tulisan tidak boleh dibaca, mengandungi banyak kesalahan bentuk-bentuk huruf, tidak meletakkan tanda baca di tempat yang betul dan menulis perkataan bercampur huruf besar dan huruf kecil.
2.2 ISU KEPRIHATINAN / FOKUS KAJIAN
Saya mendapati beberapa orang pelajar LINUS dan LINUS TEGAR mengalami masalah tulisan. Tulisan pelajar-pelajar ini tidak kemas, bengkang-bengkok, tidak menulis mengikut garisan yang terdapat pada buku latihan dan saiz antara perkataan tidak sama. Tulisan pelajar-pelajar ini sukar dibaca. Antara gaya penulisan yang sering didapati di kalangan pelajar-pelajar ialah cara memegang pensel yang tidak betul, kedudukan tangan dan buku yang tidak betul, dan cara duduk yang tidak betul. Oleh yang demikian, pelajar-pelajar ini akan membentuk tulisan yang tidak betul seperti saiz antara perkataan yang tidak konsisten, ruang antara perkataan yang tidak sesuai, tidak dapat menulis perkataan dengan betul dan tidak meletakkan huruf besar dan tanda baca di tempat yang betul.
2.3 OBJEKTIF KAJIAN
2.3.1 Objektif Am
Kajian ini dilaksanakan bertujuan mengkaji punca masalah tulisan yang tidak kemas beberapa orang murid LINUS dan LINUS TEGAR. Kajian ini dijalankan untuk mengenalpasti masalah penulisan yang dihadapi oleh pelajar-pelajar yang menunjukkan mereka kurang peka terhadap kepentingan bentuk-bentuk huruf semasa menulis. Tulisan pelajar-pelajar ini tidak kemas, bengkang-bengkok dan tidak boleh dibaca, tidak menulis mengikut garisan yang terdapat dalam buku latihan, saiz antara perkataan tidak sama, menulis perkataan tidak dijarakkan dan menulis perkataan bercampur huruf besar dan huruf kecil
2.3.2 Objektif Khusus
Kajian ini bertujuan untuk membantu pelajar-pelajar menulis melalui peringkat-peringkat penulisan dalam mata pelajaran bahasa Malaysia iaitu aktiviti pratulisan, peringkat mekanis dan peringkat pelahiran. Peringkat pertama iaitu pratulisan adalah tempoh masa pelajar-pelajar disediakan dengan aktiviti menulis sebelum mereka dapat menulis huruf-huruf dengan betul dan kemas. Peringkat kedua ialah peringkat pratulisan iaitu dengan melakukan beberapa aktiviti berkaitan seperti cara memegang pensel dengan betul, kedudukan tangan dan buku dengan betul, cara duduk yang betul. Peringkat ketiga ialah peringkat menulis untuk pelahiran, iaitu setelah pelajar-pelajar menguasai penulisan mekanis, pelajar-pelajar akan digalakkan melahirkan fikiran mereka secara bertulis.
2.4 KUMPULAN SASARAN
5  orang pelajar LINUS
7 orang pelajar LINUS TEGAR
2.5 PELAKSANAAN KAJIAN
Kajian tindakan ini melibatkan empat fasa iaitu fasa tinjauan masalah, fasa analisis tinjauan masalah, fasa tindakan dan fasa refleksi. Kajian ini dijalankan semasa sesi pengajaran dan pembelajaran setiap hari.
2.6 TINJAUAN MASALAH
2.6.1 Teknik Mengumpul Data
Terdapat beberapa teknik pengumpulan data yang digunakan untuk menghasilkan data deskriptif yang lebih menyeluruh tentang proses yang berlaku dalam kajian ini. Untuk tujuan tersebut, tiga teknik utama yang biasa digunakan dalam kajian tindakan ini iaitu:
(1) Pemerhatian
Untuk mengkaji dan memahami proses yang berlaku di dalam bilik darjah, pemerhatian merupakan teknik berkesan dalam pengumpulan data. Lazimnya, dalam pemerhatian, saya melihat, mendengar memerhati dan bersoal jawab untuk mendapatkan maklumat serta untuk memahami apa yang berlaku di dalam bilik darjah. Melalui pemerhatian hubungan saya dan pelajar-pelajar dapat dirapatkan.
(2) Temubual
Saya juga menggunakan teknik temubual. Temubual melibatkan komunikasi dua hala di antara pelajar dan guru serta guru dan guru. Saya menemubual pelajar-pelajar terlibat dan guru-guru mata pelajaran untuk mendapatkan maklumat.
(3) Bukti Dokumen
Data juga diperolehi melalui dokumen. Pengumpulan data daripada dokumen ini membolehkan saya menambah, membandingkan dan memperkukuhkan lagi data-data yang diperolehi daripada teknik pemerhatian dan teknik temubual. Dokumen ini dianalisis untuk melihat bentuk,
 pola dan trend yang berlaku selain menyediakan bukti kukuh untuk menguatkan kreadibiliti teknik temu bual dan pemerhatian. Dokumen yang dimaksudkan ialah hasil kerja pelajar.
(4) Teknik Menganalisis Data
Data yang diperolehi iaitu hasil kerja pelajar-pelajar dianalisis untuk mengetahui bentuk tulisan yang tidak boleh dibaca.

2.7 TINDAKAN YANG DICADANGKAN
2.7.1 PRATULISAN
Peringkat pertama iaitu pratulisan adalah tempoh masa pelajar-pelajar disediakan dengan aktiviti menulis sebelum mereka dapat menulis huruf-huruf dengan betul dan kemas. Dalam tempoh masa ini, latihan otot-otot tangan dan jari serta koordinasi tangan dan mata dilaksanakan dalam kalangan pelajar-pelajar dari awal-awal lagi. Bagi membolehkan mereka menguasai kemahiran membentuk lambang-lambang yang kemas dan jelas, pelajaran tulisan yang dirancang haruslah sistematik, bertitik-tolak daripada aktiviti-aktiviti pratulisan yang terbentuk bebas.
Latihan-latihan pratulisan menitikberatkan beberapa perkara seperti melakukan latihan-latihan pergerakan tangan terlebih dahulu seperti menggerakkan jari di atas garisan atau corak yang dilakarkan pada kertas, menggerakkan jari di udara, di atas meja atau lantai, di atas pasir atau tanah tanpa menggunakan alat tulis dengan membentuk corak atau huruf-huruf yang ditentukan. Tujuannya supaya pelajar-pelajar dapat menguasai gerak tangan dan jari yang bebas untuk menulis dengan selesa dan sempurna. Di samping itu juga, pelajar-pelajar boleh melakukan latihan pergerakan jari dengan memainkan jari, menekan jari, mengurut jari, meramas-ramas jari, mengoyang-goyangkan jari dan sebagainya. Setelah mahir dalam aktiviti ini, pelajar-pelajar diperkukuhkan lagi dengan melakukan latihan-latihan pergerakan mata dengan melakukan beberapa pergerakan yang melibatkan koordinasi mata dan tangan. Antara aktiviti-aktiviti yang dilakukan ialah latihan mengikut garisan-garisan rajah atau gambar dari kiri ke kanan, latihan membentuk garisan lurus, latihan mewarnakan gambar berbentuk mudah dari kiri ke kanan atau kanan ke kiri, seterusnya membentuk corak-corak gabungan antara bulatan dan garis lurus secara bebas. Bahasa bertulis memerlukan perhubungan dengan bahasa dalam diri penulis atau dalam fikirannya. Perihal menghubungkan bahasa lisan dengan bahasa fikiran
 adalah terlalu sukar, dengan sebab itu, maka usaha pengajaran permulaan penulisan biasanya terlalu susah walaupun pelajar-pelajar tidak mengalami kesukaran dalam membentuk huruf.
2.7.2 TULISAN MEKANIS
Peringkat kedua ialah peringkat tulisan mekanis iaitu dengan melakukan beberapa aktiviti berkaitan seperti cara memegang pensel dengan betul, kedudukan tangan dan buku dengan betul, cara duduk yang betul. Di samping itu,  pelajar-pelajar akan diarahkan menyambung garisan-garisan putus yang membentuk huruf-huruf, menconteng secara bebas, membentuk secara bebas, melukis dan mewarna. Pelajar-pelajar diarahkan membentuk huruf di dalam kertas kosong yang tidak mempunyai sebarang garisan, menulis huruf di atas satu garisan, menulis huruf di atas dua garisan dan menulis huruf di atas tiga garisan. Bagi membentuk tulisan yang betul, tiga garisan digunakan sepenuhnya termasuk membuat latih-tubi tulisan. Seterusnya pelajar-pelajar akan diarahkan menulis perkataan dari bawah ke atas. Cara penulisan ini akan menambahkan tumpuan atau fokus pada hasil kerja mereka. Aktiviti ini juga akan memperlahankan tangan dan menambah tumpuan untuk membentuk huruf yang betul dan kemas.Pelajar-pelajar akan diperkenalkan kepada lambang-lambang huruf dengan menggunakan gambar. Selain daripada itu, pelajar-pelajar boleh menekap dan menulis mengikut urutan huruf yang ditetapkan, kemudian, pelajar-pelajar diarahkan memadan dan menyalin dua suku kata supaya menjadi perkataan bermakna, menulis huruf yang tertinggal di dalam ruang atau petak yang dikosongkan. Latihan ini diteruskan dengan menyalin perkataan dan ayat-ayat yang mudah.
2.7.3 PERINGKAT PELAHIRAN
Peringkat ketiga ialah peringkat menulis untuk pelahiran, iaitu setelah pelajar-pelajar menguasai penulisan mekanis, pelajar-pelajar akan digalakkan melahirkan fikiran mereka secara bertulis. Aktiviti-aktiviti yang berkaitan ialah menulis berpandukan gambar-gambar dan perkataan, mengisi tempat kosong, melengkapkan ayat-ayat dengan perkataan,, dan membina perenggan ayat. Selain daripada itu,  aktivit-aktiviti menulis yang boleh dijalankan adalah seperti mengisi  teka silang kata, mengisi tempat kosong dalam ayat, melengkapkan ayat dengan menambah rangkai kata yang sesuai dan menulis ayat yang lengkap dengan perkataan yang diberi. Seterusnya, aktiviti seperti memanjangkan ayat dengan menambahkan rangka kata yang sesuai juga boleh dilakukan, membentuk ayat-ayat bagi menyudahkan cerita, menulis ayat berdasarkan gambar yang disediakan, menulis jawapan-jawapan kefahaman, menulis rencana daripada bahan yang diperlihatkan dan menulis karangan daripada tajuk yang disediakan.
 Pelbagai aktiviti yang dapat dijalankan supaya pelajar-pelajar dapat menguasai kemahiran menulis dengan betul dan kemas.
2.8 REFLEKSI KESELURUHAN
Setelah semua aktiviti dijalankan mengikut langkah yang telah ditetapkan, pencapaian pelajar-pelajar dapat dilihat. Pelajar-pelajar memahami konsep kepentingan bentuk sesuatu tulisan. Pelajar-pelajar yang dibimbing berjaya mengubah tulisan sedikit demi sedikit. Hasilnya 5 pelajar LINUS berjaya menulis dengan betul, teratur dan kemas, manakala pelajar LINUS TEGAR pencapaian mereka di peringkat sederhana.
2.9 CADANGAN UNTUK KAJIAN SETERUSNYA
Untuk kajian seterusnya, saya mencadangkan untuk mengajar tulisan mengikut tiga peringkat iaitu pratulisan, tulisan mekanis dan tulisan pelahiran.
3.0 RUMUSAN
Untuk melakukan kajian tindakan tidak semestinya dengan adanya masalah. Dalam mengenalpasti masalah kajian tindakan, apa-apa idea atau isu pun boleh digunakan tetapi ia hendaklah sesuatu yang bertujuan untuk penambahbaikan, contohnya berkaitan dengan perkembangan sekolah, pencapaian sekolah, misi sekolah atau mengenai perkembangan percapaian diri dan juga profesion perguruan.
Selain daripada untuk meningkatkan proses pengajaran dan pembelajaran, untuk mengenalpasti masalah, idea-idea atau isu-isu hendaklah dicatat terlabih dahulu tetapi isu-isu yang dipilih hendaklah bukan sesuatu isu yang memang tidak boleh diubah, contohnya isu buku teks dalam tempoh yang singkat dan sebagainya. Isu yang dipilih hendaklah spesifik dan dalam skop yang kecil sahaja.
Permasalahan kajian tindakan ini juga boleh dikenalpasti melalui refleksi yang dilakukan di dalam bilik darjah. Apabila terdapat sesuatu isu yang difokuskan, guru hendaklah mengemukakan soalan-soalan bagi tujuan penyelesaian masalah tersebut. Walaubagaimana pun, guru boleh melakukan hipotesis jika terdapat isu yang lebih spesifik yang telah dikenalpasti.
Ini bermaksud, kajian tindakan yang dilakukan oleh guru tersebut bukan berdasarkan refleksi pengalaman guru di dalam bilik darjah, sebaliknya mendapat idea atau isu tersebut kemudian
 membuat hipotesis seterusnya melakukan kajian tindakan untuk menilai kebenaran hipotesis tersebut.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Leave a comment if you want