Terima Kasih

Welcome to my blog. Leave a comment here. Thank You

Ahad, 18 November 2012

KEPENTINGAN BAHASA MELAYU SEBAGAI BAHASA PEGANTAR


PENGENALAN
Bahasa Melayu menghadapi masa depan yang cerah. Kedudukannya sebagai bahasa utama negara Malaysia sudah terjamin, dari segi penggunaan yang luas dan perakuan oleh rakyat Malaysia. Pada tahun1956 telah diperkenalkan Laporan Razak setelah kerajaan pada masa itu berjanji untuk memberi sistem pelajaran yang sama untuk semua penduduk. Usul penting Laporan Razak yang berkaitan secara langsung dengan pendidikan kebangsaan yang dapat memupuk perpaduan rakyat dengan bahasa Melayu menjadi salah satu asasnya. Menurut Penyata Jawatankuasa Pelajaran 1956 ( Laporan Razak ), tujuan pendidikan kebangsaan ialah: “…menyatukan budak-budak daripada semua bangsa di dalam negeri dengan memakai satu peraturan pelajaran meliputi semua bangsa dengan memakai satu peraturan pelajaran yang meliputi semua bangsa dengan menggunakan bahasa kebangsaan sebagai bahasa penghantar yang besar, walaupun perkara ini tiada dapat dilaksanakan dengan serta merta melainkan hendaklah diperbuat dengan beransur.” (Perenggan 12: Laporan Razak). Oleh itu tujuan jawatankuasa ini adalah untuk melahirkan perpaduan kaum sebagai satu rumpun bangsa Tanah Melayu.

FUNGSI BAHASA MELAYU SEBAGAI BAHASA PENGHANTAR DI SEKOLAH
Bahasa penghantar didefinisikan sebagai bahasa yang telah ditetapkan oleh sesebuah negara sebagai bahasa yang digunakan untuk sistem pendidikan seperti bahasa Melayu di sekolah-sekolah kebangsaan, bahasa Cina di sekolah rendah jenis kebangsaan Cina dan bahasa Tamil di sekolah rendah jenis kebangsaan Tamil. Ketiga-tiga bahasa ini telah ditetapkan oleh Laporan Pelajaran Datuk Abdul Razak Hussein (1958) dan Laporan Pelajaran Datuk Abdul Rahman Talib (1960) sebagai bahasa pengantar.
Laporan Razak (1956) [1]bahasa Melayu dijadikan bahasa kebangsaan dan menjadi bahasa pengantar utama di semua sekolah, khususnya untuk membantu perpaduan kebangsaan dan menjadi wahana yang berkesan untuk komunikasi pelbagai kumpulan etnik dan masyarakat pelbagai dialek atau bahasa. Sementelahan itu, bahasa Melayu juga dapat membantu pembentukan jati diri bangsa Malaysia yang menggunakan bahasa komunikasi yang mudah difahami. Seluruh rakyat perlu berkomunikasi untuk berbincang, menyatakan pendapat, perasaan, pengetahuan dan berinteraksi dengan orang lain. Penyatupaduan rakyat melalui bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan boleh diwujudkan melalui penerapan nilai-nilai murni seperti yang tercatat di dalam matlamat pendidikan kebangsaan iaitu pembentukan masyarakat yang bersatu padu.
Selaras dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan, bahasa Melayu diajarkan sebagai mata pelajaran wajib dan telah dijadikan sebagai bahasa pengantar utama bagi semua peringkat dari prasekolah sehingga pengajian tinggi. Penubuhan  Universiti Kebangsaan Malaysia merupakan kemuncak bagi menentukan bahasa Melayu digunakan sepenuhnya sebagai bahasa pengantar ilmu pengetahuan. [2] Perkara 152 Perlembagaan Negara telah menjamin dan mengiktiraf bahawa  bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan seterusnya sebagai bahasa ilmu. Dasar pendidikan kebangsaan sebagai peneguhnya iaitu memberi halatuju kepada bahasa Melayu dalam sistem pendidikan negara. Bahasa Melayu dinobatkan sebagai bahasa ilmu apabila wujudnya Akta Pelajaran (1961). Antaranya menyebut mengenai peruntukan bagi perkembangan yang progresif bagi suatu sistem pelajaran di mana bahasa kebangsaan adalah menjadi bahasa pengantar utama dalam institusi pendidikan. Menurut ensiklopedia keluaran Dewan Bahasa dan Pustaka menjelaskan bahawa bahasa Melayu sebagai alat atau untuk menyampaikan ilmu pengetahuan dan ianya standing dengan bahasa-bahasa lain daripada segi kesediaan menerima maklumat atau pun sebagai bahasa ilmu dan telah dijamin kukuhnya di sisi Perlembagaan Negara serta Dasar Pendidikan Negara.
Laporan Razak (1956) yang telah termaktub dalam Ordinan Pelajaran (1957), sementara cadangan-cadangan dasar daripada kedua-dua Laporan Razak (1956) dan Laporan Rahman Talib (1960) telah termaktub dalam Akta Pelajaran (1961). Kedua-dua laporan tersebut menekankan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dalam sistem pendidikan. Penegasan terpenting dalam proklamasi Dasar Pelajaran Kebangsaan adalah suatu sistem pendidikan yang mengutamakan bahasa kabangsaan atau bahasa Melayu sebagai media pengajaran dan pembelajaran bagi semua peringkat persekolah dan dalam semua institusi pendidikan tertakluk di bawah bidang kuasa kerajaan. Dasar Pelajaran Kebangsaan telah menghasilkan pelajar-pelajar yang mendapat keseluruhan pendidikan dalam bahasa Melayu. Bermula dari tahun 1983, penuntut yang memasuki pusat-pusat pengajian tinggi telah menerima seluruh pendidikan mereka dengan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar. Bentuknya telah disempurnakan sehingga berupaya memperkatakan apa sahaja bidang yang wujud dalam kehidupan rakyat Malaysia dan hari ini bahasa Melayu dapat bersaing dan berdiri sama teguh dengan bahasa-bahasa moden yang lain di dunia seperti bahasa Inggeris, bahasa Perancis, bahasa Rusia dan bahasa-bahasa lain.
Menurut Nik Safiah Karim, secara tuntasnya, kemajuan pendidikan dalam bahasa Melayu telah berlaku dengan pesatnya apabila kerajaan menubuhkan sekolah menengah berbahasa pengantar bahasa Melayu dan terlaksananya Dasar Pendidikan Negara yang menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar utama di institusi pengajian tinggi.

KEPENTINGAN BAHASA MELAYU DALAM SISTEM PENDIDIKAN KEBANGSAAN
Kebitaraan bahasa Melayu pada abad ke-16 dan abad ke-17 dapat dirumuskan dengan kenyataan bahawa bahasa Melayu telah mencapai taraf bahasa antarabangsa, terutama dengan kedudukannya sebagai bahasa diplomatik, lingua franca, bahasa perdagangan sedunia, bahasa penyebaran agama besar dunia dan bahasa sastera ( Collins 1999) ; ( Awang Sarian 2000 ); (Hassan Ahmad 2002).
Menjelang kemerdekaan, usaha memartabatkan bahasa Melayu telah diupayakan, khususnya oleh Jawatankuasa Pelajaran Razak 1956 yang menetapkan dasar pendidikan kebangsaan dengan berteraskan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama. Pada tahun 1996, akta pendidikan yang baharu, khususnya dalam Seksyen 17, masih mempertahankan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama sistem pendidikan negara. Selain daripada itu, satu lagi peristiwa penting yang berkaitan dengan usaha memartabatkan semula bahasa Melayu ialah penubuhan Dewan Bahasa dan  Pustaka yang letaknya di Bukit Timbalan, Johor Bahru serta Institut Bahasa dengan kampus pertamanya di Bukit Senyum, Johor Bahru, sebagai hasil desakan rakyat melalui Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu Ketiga (1956).
Kesediaan kerajaan memenuhi tuntutan rakyat merupakan kebijaksanaan yang tepat untuk mempersiapkan bahasa Melayu sebagai bahasa yang berupaya menjadi wahana bidang-bidang utama tamadun bangsa dan negara, khususnya melalui perancangan korpus bahasa dalam bidang kosa kata ( umum dan khusus ), sistem ejaan, tatabahasa, sebutan dan laras bahasa. Sebagai bahasa ilmu, bahasa Melayu telah memungkinkan berlangsungnya pendemokrasian pendidikan apabila sejumlah besar generasi muda mendapat peluang belajar dalam bahasa kebangsaan tanpa kekangan faktor taraf sosioekonomi dan pengasingan etnik serta keeklusifan bahasa penghantar yang dahulunya didominasi oleh bahasa Inggeris. Jutaan pelajar lepasan sekolah aliran kebangsaan telah terhasil dan merekalah yang menjadi tonggak pembangunan modal insan negara dalam pelbagai bidang.
Bahasa Melayu sewajarnya dijadikan medium utama dalam pembentukan masyarakat yang ideal di negara ini, terutamnya dalam kalangan pelajar. Bahasa Melayu digunakan dalam bidang pendidikan memainkan peranan yang penting sama ada bahasa itu akan berkembang atau terus pudar ditelan zaman. Dari hari ke sehari peningkatan penggunaan bahasa Melayu dalam kalangan masyarakat dunia kian ketara sehingga wujud banyak bidang pengajian Melayu di pelbagai universiti luar mahupun dalam negara. Bahasa Melayu dikatakan merupakan antara bahasa di dunia yang mampu bertahan dalam tempoh 100 tahun lagi malahan mampu hidup untuk selama-lamanya terutama jika bahasa mempunyai kuasa ekonomi.
Bagi merealisasikan peranan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan agen perpaduan negara, Penyata Razak dijadikan sebagai asas Ordinan pelajaran (1957). Menurut Penyata Razak, bahasa dan pendidikan dapat digunakan sebagai wadah atau alat untuk meningkatkan persefahaman perpaduan kebangsaan antara penduduk yang berbilang kaum. Selars dengan itu mewujudkan satu bangsa yang bersatu padu daripada pelbagai keturunan, agama, kebudayaan dan wilayah dengan satu bahasa kebangsaan amat diperlukan. Penggunaan dan penguasaan bahasa Melayu secara meluas akan berperanan sebagai wahana pembentukan identiti kebangsaan. Kesediaan dan penerimaan warga Malaysia untuk menggunakan bahasa kebangsaan juga mampu menjadi penghubung yang berkesan dan wadah membentuk perpaduan yang lebih utuh.
Dalam mengejar arus globalisasi masa kini, elemen yang membantu kepada agenda pembinaan negara bangsa ialah melalui sistem pendidikan yang menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar. Laporan Razak (1957) dan Laporan Rahman Talib (1961), menyatakan akan memungkinkan bahasa Melayu digunakan sepenuhnya sebagai bahasa kebangsaan, bahasa itu diberi tempat sebagai bahasa pengantar ilmu pengetahuan agar dapat berkembang menjadi bahasa yang moden dan mampu menjadi asas  pembinaan negara bangsa yang maju dan berdaulat. Justeru itu, bahasa Melayu memikul tugas sebagai bahasa rasmi negara, bahasa pentadbiran, bahasa perhubungan awam dan sebagai bahasa pengantar di sekolah dan institusi pengajian tinggi serta menjadi bahasa ilmiah ( Nik Safiah Karim 1986: 1 ).
Selain daripada itu, Kementerian Pengajian Tinggi baru-baru ini juga mewajibkan ke semua 65 ribu orang pelajar asing yang menuntut di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) di Malaysia agar mengambil mata pelajaran bahasa Melayu. Di kalangan pejuang bahasa menganggapnya sebagai satu langkah meletakkan semula kedudukan bahasa Melayu dalam sistem pengajian tinggi di negara ini. Dengan mewajibkan penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan pelajar asing di negara ini membolehkan mereka memahami budaya setempat dengan labih baik dan sekaligus mengembangkan dan menambah bilangan penutur bahasa Melayu di peringkat antarabangsa.

RUMUSAN
Bahasa Melayu telah memainkan peranannya sebagai bahasa yang unggul sebaik sahaja diangkat menjadi bahasa kebangsaan, bahasa rasmi, bahasa pengantar di sekolah dan pusat pengajian tinggi selain menjadi bahasa perpaduan. Bahasa Melayu dijadikan sebagai bahasa pengantar di sekolah setelah penyemakan semula Akta pelajaran (1961) yang berasaskan Penyata Razak (1956) dan Laporan Rahman Talib (1960) yang bertujuan menjadikan bahasa itu sebagai bahasa pengantar utama di sekolah kebangsaan dan menjadi teras perpaduan. Pendidikan merupakan medium utama yang berperanan penting dalam memenuhi impian tersebut. Pendidikan yang berkualiti memerlukan komitmen daripada semua pihak khususnya warga pendidik dan golongan pelajar. Sebagai memenuhi impian tersebut bahasa Melayu selayaknya dijadikan wadah utama selain bahasa-bahasa lain yang telah sedia ada di negara kita.


[1]  Penyata Razak 1956
[2]  152 Akta Perlembagaan

3 ulasan:

Leave a comment if you want