Terima Kasih

Welcome to my blog. Leave a comment here. Thank You

Rabu, 28 November 2012

SET INDUKSI - 10 KEMAHIRAN MAKROPENGAJARAN

REFLEKSI PENGAJARAN  MAKRO
Omardin Ashaari (1997) mendefinisikan set induksi adalah proses terawal dalam sesuatu pengajaran yang dirancang dengan sengaja untuk tujuan-tujuan tertentu. Ea Ah Meng (1987) menyatakan set induksi ialah kemahiran yang berkaitan dengan cara untuk menyediakan pelajar anda bagi mengikuti sesi pengajaran iaitu orentasi prapengajaran.
Mok Song Sang pula mentakrifkan set induksi merupakan bahagian permulaan dalam sesuatu proses pengajaran dan pembelajaran di mana tujuan utama mengadakannya ialah untuk membina aliran fikiran serta menimbulkan minat pelajar-pelajar supaya mereka dapat memusatkan perhatian terhadap isi pelajaran yang hendak disampaikan.
Berdasarkan kepada ketiga-tiga definisi di atas, dapatlah disimpulkan bahawa set induksi ialah satu cara memulakan pengajaran di mana kemahiran memulakan pengajaran sangat penting kerana di sini guru menyampaikan ideanya kepada pelajar dan menanamkan ke dalam fikiran pelajar-pelajar mengenai bahan-bahan pengajaran yang hendak disampaikan. Sementara itu, guru juga perlu menimbulkan minat dan menggerakkan para pelajar supaya mereka sedia belajar dan memikirkan pengetahuan serta kemahiran yang dipersembahkan oleh guru mereka.
You Tube : Makro Pengajaran Bahasa Malaysia Tahun 1
Set Induksi 15 minit

KELAS
 1 Bistari
BILANGAN MURID
 30 Orang
TEMA
 Keluarga
TAJUK
 Kereta Bistari
NAMA GURU
 Cikgu Norhayati Binti Khushimohud
NAMA SEKOLAH
 SK. Pekan, Kapit, Sarawak

Menurut Ee Ah Meng (1987) dalam bukunya Prinsip-prinsip panduan menyatakan bagi mencapai kejayaan dalam set induksi atau permulaan pengajaran, guru hendaklah mematuhi  beberapa prinsip. Prinsip pertama bermakna iaitu permulaan pengajaran sepatutnya bermakna kepada pelajar-pelajar dari segi minat,pengalaman, kebolehan dan umur. Prinsip kedua perkaitan iaitu permulaan pelajaran sepatutnya berkaitan dengan isi dan objektif pelajaran. Prinsip terakhir perkaitan iaitu permulaan hendaklah berkaitan dengan pengetahuan sedia ada pelajar-pelajar.
Tayangan dalam you tube, makro pengajaran bahasa Malaysia Tahun 1 oleh Cikgu Norhayati dalam set induksinya menunjukkan prinsip bermakna iaitu berkaitan dari segi minat, pengalaman, kebolehan dan umur. Kereta kecil berwarna merah yang ditunjukkan oleh Cikgu Norhayati sememangnya memperlihatkan bukti pelajar-pelajar Tahun 1 sangat berminat terutamanya disebabkan benda maujud seperti alat permainan dijadikan bahan set induksi. Solan-soalan yang dikemukakan oleh Cikgu Norhayati mengenai kereta kecil tersebut berlaku dalam kehidupan seharian pelajar-pelajar. Contoh soalan Cikgu Norhayati ialah:
1. Apakah warna kereta ini?
2. Siapakah yang selalu memandu kereta kamu?
3. Apakah perasaan kamu apabila menaiki kereta?
4. Apakah jenis kereta ayah kamu?
Soalan-soalan ini juga berkaitan dengan pengalaman, kebolehan dan umur pelajar-pelajar. Sesi soal jawab yang dilakukan oleh Cikgu Norhayati menyeronokan dan menimbulkan rasa ingin tahu pelajar-pelajar.
Tajuk pelajaran bahasa Malaysia yang diajar oleh Cikgu Norhayati iaitu “Kereta Kecil” sangat berkaitan dengan dengan set induksi benda maujud kereta kecil warna merah. Isi dan objektif pelajaran juga mempunyai perkaitan dengan set induksi.
Dalam mewujudkan motivasi dan memastikan pelajar-pelajar bersedia untuk belajar, Cikgu Norhayati menyebarkan soalan secara kelas, kumpulan dan individu bagi membuktikan pelajar-pelajar telah bersedia untuk meneruskan pelajaran dengan senang dan mudah.
Sebelum menyanyi lagu kereta merah, Cikgu Norhayati mengukuhkan kemahiran membaca pelajar-pelajar dengan aktiviti eja, sebut dan baca secara kelas. Aktiviti menyanyi dan melakukan sedikit pergerakan sangat-sangat menarik minat dan memotivasikan pelajar-pelajar  untuk menyediakan mereka ke arah langkah perkembangan pelajaran dan merangsang pelajar-pelajar terhadap isi pelajaran keseluruhan.
Set induksi yang kreatif dan menarik seperti yang  dilakukan oleh Cikgu Norhayati akan menunjukkan kesan-kesan positif dalam pembelajaran mereka. Pelajar-pelajar akan bermotivasi tinggi dan mereka akan bersemangat untuk belajar dengan lebih tekun lagi. Di samping itu, perhatian pelajar-pelajar  terhadap pelajaran akan lebih baik dan ia akan memudahkan pembentukan konsep. Pelajar-pelajar akan berusaha ke arah jangkaan prestasi yang ditetapkan dan diumumkan oleh guru. Pembelajaran akan lebih bermakna dan menyeronokkan kerana perkaitan dibuat antara pelajaran baru dengan pengetahuan sedia ada pelajar-pelajar dan naluri ingin tahu pelajar-pelajar akan dapat dipenuhi. Set induksi yang menarik juga akan mencorakkan interaksi dua hala, guru dan pelajar akan sentiasa berubah-ubah. Ini akan mewujudkan suasana pengajaran dan pembelajaran yang lebih menggalakkan.
Secara tuntasnya, guru mesti melakukan pelbagai aktiviti dalam kemahiran set induksi dengan tujuan untuk menarik minat pelajar, memotivasikan pelajar dan merangsang pelajar untuk melibatkan diri secara aktif sehingga ke akhir pengajaran. Set induksi ini juga boleh dilakukan dengan menggunakan teknik menyoal yang betul, membuat beberapa kejutan, menunjukkan gambar, memperdengarkan bunyi dan sebagainya. Sekiranya set induksi dilakukan dengan jayanya, saya pasti guru akan dapat mencapai objektif pengajaran dan pelajar-pelajar dapat menguasai kemahiran pembelajaran sepenuhnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Leave a comment if you want