PENGENALAN
Bahasa
Melayu menghadapi masa depan yang cerah. Kedudukannya sebagai bahasa utama
negara Malaysia sudah terjamin, dari segi penggunaan yang luas dan perakuan
oleh rakyat Malaysia. Pada tahun1956 telah diperkenalkan Laporan Razak setelah
kerajaan pada masa itu berjanji untuk memberi sistem pelajaran yang sama untuk
semua penduduk. Usul penting Laporan Razak yang berkaitan secara langsung
dengan pendidikan kebangsaan yang dapat memupuk perpaduan rakyat dengan bahasa
Melayu menjadi salah satu asasnya. Menurut Penyata Jawatankuasa Pelajaran 1956
( Laporan Razak ), tujuan pendidikan kebangsaan ialah: “…menyatukan budak-budak
daripada semua bangsa di dalam negeri dengan memakai satu peraturan pelajaran
meliputi semua bangsa dengan memakai satu peraturan pelajaran yang meliputi
semua bangsa dengan menggunakan bahasa kebangsaan sebagai bahasa penghantar
yang besar, walaupun perkara ini tiada dapat dilaksanakan dengan serta merta
melainkan hendaklah diperbuat dengan beransur.” (Perenggan 12: Laporan Razak).
Oleh itu tujuan jawatankuasa ini adalah untuk melahirkan perpaduan kaum sebagai
satu rumpun bangsa Tanah Melayu.
FUNGSI BAHASA MELAYU SEBAGAI BAHASA
PENGHANTAR DI SEKOLAH
Bahasa
penghantar didefinisikan sebagai bahasa yang telah ditetapkan oleh sesebuah
negara sebagai bahasa yang digunakan untuk sistem pendidikan seperti bahasa
Melayu di sekolah-sekolah kebangsaan, bahasa Cina di sekolah rendah jenis
kebangsaan Cina dan bahasa Tamil di sekolah rendah jenis kebangsaan Tamil.
Ketiga-tiga bahasa ini telah ditetapkan oleh Laporan Pelajaran Datuk Abdul
Razak Hussein (1958) dan Laporan Pelajaran Datuk Abdul Rahman Talib (1960)
sebagai bahasa pengantar.
Laporan
Razak (1956) [1]bahasa
Melayu dijadikan bahasa kebangsaan dan menjadi bahasa pengantar utama di semua
sekolah, khususnya untuk membantu perpaduan kebangsaan dan menjadi wahana yang
berkesan untuk komunikasi pelbagai kumpulan etnik dan masyarakat pelbagai
dialek atau bahasa. Sementelahan itu, bahasa Melayu juga dapat membantu
pembentukan jati diri bangsa Malaysia yang menggunakan bahasa komunikasi yang
mudah difahami. Seluruh rakyat perlu berkomunikasi untuk berbincang, menyatakan
pendapat, perasaan, pengetahuan dan berinteraksi dengan orang lain.
Penyatupaduan rakyat melalui bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan boleh
diwujudkan melalui penerapan nilai-nilai murni seperti yang tercatat di dalam
matlamat pendidikan kebangsaan iaitu pembentukan masyarakat yang bersatu padu.
Selaras
dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan, bahasa Melayu diajarkan sebagai mata
pelajaran wajib dan telah dijadikan sebagai bahasa pengantar utama bagi semua
peringkat dari prasekolah sehingga pengajian tinggi. Penubuhan Universiti Kebangsaan Malaysia merupakan
kemuncak bagi menentukan bahasa Melayu digunakan sepenuhnya sebagai bahasa pengantar
ilmu pengetahuan. [2]
Perkara 152 Perlembagaan Negara telah menjamin dan mengiktiraf bahawa bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan
seterusnya sebagai bahasa ilmu. Dasar pendidikan kebangsaan sebagai peneguhnya
iaitu memberi halatuju kepada bahasa Melayu dalam sistem pendidikan negara.
Bahasa Melayu dinobatkan sebagai bahasa ilmu apabila wujudnya Akta Pelajaran
(1961). Antaranya menyebut mengenai peruntukan bagi perkembangan yang progresif
bagi suatu sistem pelajaran di mana bahasa kebangsaan adalah menjadi bahasa
pengantar utama dalam institusi pendidikan. Menurut ensiklopedia keluaran Dewan
Bahasa dan Pustaka menjelaskan bahawa bahasa Melayu sebagai alat atau untuk
menyampaikan ilmu pengetahuan dan ianya standing dengan bahasa-bahasa lain daripada
segi kesediaan menerima maklumat atau pun sebagai bahasa ilmu dan telah dijamin
kukuhnya di sisi Perlembagaan Negara serta Dasar Pendidikan Negara.
Laporan
Razak (1956) yang telah termaktub dalam Ordinan Pelajaran (1957), sementara
cadangan-cadangan dasar daripada kedua-dua Laporan Razak (1956) dan Laporan
Rahman Talib (1960) telah termaktub dalam Akta Pelajaran (1961). Kedua-dua
laporan tersebut menekankan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dalam sistem
pendidikan. Penegasan terpenting dalam proklamasi Dasar Pelajaran Kebangsaan
adalah suatu sistem pendidikan yang mengutamakan bahasa kabangsaan atau bahasa
Melayu sebagai media pengajaran dan pembelajaran bagi semua peringkat
persekolah dan dalam semua institusi pendidikan tertakluk di bawah bidang kuasa
kerajaan. Dasar Pelajaran Kebangsaan telah menghasilkan pelajar-pelajar yang
mendapat keseluruhan pendidikan dalam bahasa Melayu. Bermula dari tahun 1983,
penuntut yang memasuki pusat-pusat pengajian tinggi telah menerima seluruh
pendidikan mereka dengan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar. Bentuknya
telah disempurnakan sehingga berupaya memperkatakan apa sahaja bidang yang
wujud dalam kehidupan rakyat Malaysia dan hari ini bahasa Melayu dapat bersaing
dan berdiri sama teguh dengan bahasa-bahasa moden yang lain di dunia seperti
bahasa Inggeris, bahasa Perancis, bahasa Rusia dan bahasa-bahasa lain.
Menurut
Nik Safiah Karim, secara tuntasnya, kemajuan pendidikan dalam bahasa Melayu
telah berlaku dengan pesatnya apabila kerajaan menubuhkan sekolah menengah
berbahasa pengantar bahasa Melayu dan terlaksananya Dasar Pendidikan Negara
yang menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar utama di institusi
pengajian tinggi.
KEPENTINGAN BAHASA MELAYU DALAM
SISTEM PENDIDIKAN KEBANGSAAN
Kebitaraan
bahasa Melayu pada abad ke-16 dan abad ke-17 dapat dirumuskan dengan kenyataan
bahawa bahasa Melayu telah mencapai taraf bahasa antarabangsa, terutama dengan
kedudukannya sebagai bahasa diplomatik, lingua franca, bahasa perdagangan
sedunia, bahasa penyebaran agama besar dunia dan bahasa sastera ( Collins 1999)
; ( Awang Sarian 2000 ); (Hassan Ahmad 2002).
Menjelang
kemerdekaan, usaha memartabatkan bahasa Melayu telah diupayakan, khususnya oleh
Jawatankuasa Pelajaran Razak 1956 yang menetapkan dasar pendidikan kebangsaan
dengan berteraskan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama.
Pada tahun 1996, akta pendidikan yang baharu, khususnya dalam Seksyen 17, masih
mempertahankan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama sistem
pendidikan negara. Selain daripada itu, satu lagi peristiwa penting yang
berkaitan dengan usaha memartabatkan semula bahasa Melayu ialah penubuhan Dewan
Bahasa dan Pustaka yang letaknya di
Bukit Timbalan, Johor Bahru serta Institut Bahasa dengan kampus pertamanya di
Bukit Senyum, Johor Bahru, sebagai hasil desakan rakyat melalui Kongres Bahasa
dan Persuratan Melayu Ketiga (1956).
Kesediaan
kerajaan memenuhi tuntutan rakyat merupakan kebijaksanaan yang tepat untuk
mempersiapkan bahasa Melayu sebagai bahasa yang berupaya menjadi wahana
bidang-bidang utama tamadun bangsa dan negara, khususnya melalui perancangan
korpus bahasa dalam bidang kosa kata ( umum dan khusus ), sistem ejaan,
tatabahasa, sebutan dan laras bahasa. Sebagai bahasa ilmu, bahasa Melayu telah
memungkinkan berlangsungnya pendemokrasian pendidikan apabila sejumlah besar
generasi muda mendapat peluang belajar dalam bahasa kebangsaan tanpa kekangan
faktor taraf sosioekonomi dan pengasingan etnik serta keeklusifan bahasa
penghantar yang dahulunya didominasi oleh bahasa Inggeris. Jutaan pelajar
lepasan sekolah aliran kebangsaan telah terhasil dan merekalah yang menjadi
tonggak pembangunan modal insan negara dalam pelbagai bidang.
Bahasa
Melayu sewajarnya dijadikan medium utama dalam pembentukan masyarakat yang
ideal di negara ini, terutamnya dalam kalangan pelajar. Bahasa Melayu digunakan
dalam bidang pendidikan memainkan peranan yang penting sama ada bahasa itu akan
berkembang atau terus pudar ditelan zaman. Dari hari ke sehari peningkatan
penggunaan bahasa Melayu dalam kalangan masyarakat dunia kian ketara sehingga
wujud banyak bidang pengajian Melayu di pelbagai universiti luar mahupun dalam
negara. Bahasa Melayu dikatakan merupakan antara bahasa di dunia yang mampu
bertahan dalam tempoh 100 tahun lagi malahan mampu hidup untuk selama-lamanya
terutama jika bahasa mempunyai kuasa ekonomi.
Bagi
merealisasikan peranan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan agen
perpaduan negara, Penyata Razak dijadikan sebagai asas Ordinan pelajaran
(1957). Menurut Penyata Razak, bahasa dan pendidikan dapat digunakan sebagai
wadah atau alat untuk meningkatkan persefahaman perpaduan kebangsaan antara
penduduk yang berbilang kaum. Selars dengan itu mewujudkan satu bangsa yang
bersatu padu daripada pelbagai keturunan, agama, kebudayaan dan wilayah dengan
satu bahasa kebangsaan amat diperlukan. Penggunaan dan penguasaan bahasa Melayu
secara meluas akan berperanan sebagai wahana pembentukan identiti kebangsaan.
Kesediaan dan penerimaan warga Malaysia untuk menggunakan bahasa kebangsaan
juga mampu menjadi penghubung yang berkesan dan wadah membentuk perpaduan yang
lebih utuh.
Dalam
mengejar arus globalisasi masa kini, elemen yang membantu kepada agenda
pembinaan negara bangsa ialah melalui sistem pendidikan yang menggunakan bahasa
Melayu sebagai bahasa pengantar. Laporan Razak (1957) dan Laporan Rahman Talib (1961),
menyatakan akan memungkinkan bahasa Melayu digunakan sepenuhnya sebagai bahasa
kebangsaan, bahasa itu diberi tempat sebagai bahasa pengantar ilmu pengetahuan
agar dapat berkembang menjadi bahasa yang moden dan mampu menjadi asas pembinaan negara bangsa yang maju dan
berdaulat. Justeru itu, bahasa Melayu memikul tugas sebagai bahasa rasmi
negara, bahasa pentadbiran, bahasa perhubungan awam dan sebagai bahasa
pengantar di sekolah dan institusi pengajian tinggi serta menjadi bahasa ilmiah
( Nik Safiah Karim 1986: 1 ).
Selain
daripada itu, Kementerian Pengajian Tinggi baru-baru ini juga mewajibkan ke
semua 65 ribu orang pelajar asing yang menuntut di Institusi Pengajian Tinggi
Awam (IPTA) dan Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) di Malaysia agar mengambil
mata pelajaran bahasa Melayu. Di kalangan pejuang bahasa menganggapnya sebagai
satu langkah meletakkan semula kedudukan bahasa Melayu dalam sistem pengajian
tinggi di negara ini. Dengan mewajibkan penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan
pelajar asing di negara ini membolehkan mereka memahami budaya setempat dengan
labih baik dan sekaligus mengembangkan dan menambah bilangan penutur bahasa
Melayu di peringkat antarabangsa.
RUMUSAN
Bahasa
Melayu telah memainkan peranannya sebagai bahasa yang unggul sebaik sahaja
diangkat menjadi bahasa kebangsaan, bahasa rasmi, bahasa pengantar di sekolah
dan pusat pengajian tinggi selain menjadi bahasa perpaduan. Bahasa Melayu
dijadikan sebagai bahasa pengantar di sekolah setelah penyemakan semula Akta
pelajaran (1961) yang berasaskan Penyata Razak (1956) dan Laporan Rahman Talib
(1960) yang bertujuan menjadikan bahasa itu sebagai bahasa pengantar utama di
sekolah kebangsaan dan menjadi teras perpaduan. Pendidikan merupakan medium
utama yang berperanan penting dalam memenuhi impian tersebut. Pendidikan yang
berkualiti memerlukan komitmen daripada semua pihak khususnya warga pendidik
dan golongan pelajar. Sebagai memenuhi impian tersebut bahasa Melayu selayaknya
dijadikan wadah utama selain bahasa-bahasa lain yang telah sedia ada di negara
kita.
saya dah share.. terima kasih byk2.. sangat bermanfaat...
BalasPadamThanks for the info
BalasPadamAssalamualaikum. Mohon kebenaran copy?
BalasPadam