Terima Kasih

Welcome to my blog. Leave a comment here. Thank You

Rabu, 28 November 2012

KONSEP TATABAHASA DAN KESALAHAN TATABAHASA


PENGENALAN
Bahasa adalah penggunaan kod yang merupakan gabungan fonem sehingga membentuk kata dengan aturan sintaksis untuk membentuk kalimah yang mempunyai makna tersendiri. Bahasa juga mempunyai pelbagai definisi seperti 1 satu sistem untuk mewakili benda, tindakan, gagasan dan keadaan. 2 Satu peralatan yang digunakan untuk menyampaikan konsep kepada pemikiran orang lain. 3 Satu kesatuan sistem bermakna. 4 Satu kod  yang digunakan oleh pakar linguistik untuk membezakan antara bentuk dan makna. 5 Satu ucapan yang menepati tatabahasa yang telah ditetapkan dan 6 satu sistem pertuturan yang dapat difahami oleh masyarakat linguistik.
Menurut Kamus Dewan (1998), mentakrifkan bahasa sebagai sistem lambang-lambang bunyi yang dipakai sebagai alat perhubungan dalam lingkungan satu kelompok manusia. Bahasa erat kaitannya dengan manusia, manusia menggunakan bahasa sebagai alat komunikasi. Menurut beberapa pengkaji bahasa seperti Wilhelm Von Humboldt seorang sarjana Jerman,   mendefinisikan bahasa sebagai sintesis bunyi, Ferdinand de Saussure seorang sarjana linguistik Swiss pada awal abad ke- 20 menyatakan bahasa sebagai sistem isyarat, F. Hockett memperkatakan bahasa dari sudut psikologi behaviorisme, iaitu sistem tabiat-tabiat sangat rumit, John B. Carol juga meninjau bahasa dari sudut linguistik yang merupakan sistem bunyi vokal berstruktur dan urutan-urutan bunyi dan Bloch dan Trager mendefinisikan bahasa sebagai satu lambang pertuturan yang arbituari yang digunakan anggota masyarakat untuk berkomunikasi.
HURAIAN KONSEP TATABAHASA
Tatabahasa merupakan bidang yang menumpukan kepada pembentukan kata dan proses pembinaan ayat sesuatu bahasa. Bahasa terdiri daripada kumpulan ayat yang tidak terbilang jumlahnya. Ayat pula terdiri daripada rentetan perkataan yang bermakna. Perkataan dibina oleh gabungan bunyi-bunyi dalam sesuatu bahasa yang mempunyai makna, digabungkan menjadi suku kata dan perkataan.
Menurut Abdullah Hassan dalam Tatabahasa Pedagogi Sekolah Menengah (2008),Tatabahasa merupakan susunan perkataan yang menjadi ayat. Cara perkataan-perkataan dibina dan kemudian disusun dalam ayat yang juga mempunyai makna. Cara-cara inilah dikatakan sebagai tatabahasa.  Bidang tatabahasa mengkaji cara-cara perkataan itu terbentuk dan selanjutnya bagaimana cara perkataan itu bercantum membentuk frasa dan ayat.
Kajian tentang bidang tatabahasa dilakukan dari dua segi, iaitu cara perkataan itu dibentuk daripada bunyi bahasa dan cara perkataan itu disusun menjadi ayat. Contoh pembentukan kata ialah perbincangan tentang cara perkataan terbentuk melalui penggabungan awalan, akhiran dan apitan, manakala contoh pembentukan kata ialah perbincangan tentang subjek dan predikat serta pola ayat. Bidang huraian pada peringkat perkataan dikenali sebagai morfologi manakala peringkat ayat dikenali sebagai sintaksis. Dengan perkataan lain, bidang tatabahasa terbahagi kepada dua iaitu morfologi dan sintaksis.
Morfologi
Menurut Asmah Hj Omar (1993), morfologi didefinisikan sebagai peninjauan linguistik yang menitikberatkan hubungan antara morfen-morfen dan varian morfen. John T. Jensen (1995) mentakrifkan morfologi sebagai kajian tentang struktur dalaman perkataan. Abdullah Hassan (2005) menyatakan bahawa mofologi sebagai bidang linguistik yang mengkaji bagaimana perkataan dibina. Kajian ini dilakukan terhadap unsur-unsur yang membentuk perkataan, proses-proses membentuk perkataan dan bentuk-bentuk perkataan yang dihasilkan, manakala Nik Safiah Karim et al. (2008), menjelaskan morfologi sebagai bidang ilmu bahasa yang menjadi struktur, bentuk dan penggolongan kata. Kamus Linguistik (1997) mendefinisikan bahawa morfologi ialah cabang tatabahasa yang mengkaji struktur, bentuk dan golongan kata. Kesimpulan daripada pendapat tokoh-tokoh bahasa tersebut, morfologi ialah ilmu yang mengkaji struktur, bentuk dan golongan kata
Berikut penjelasan mengenai ilmu morfologi iaitu:
i. Struktur kata
Struktur kata ialah susunan bunyi ujaran atau tulisan yang menjadi unit bahasa yang bermakna.
Berdasarkan contoh di atas, kata pemantauan adalah bunyi ujaran atau ejaan yang berada dalam susunan atau struktur yang betul. Manakala ejaan anmantaupe merupakan struktur yang salah dan tidak bermakna.
ii.Bentuk kata
Bentuk kata ialah rupa unit tatabahasa sama ada berbentuk tungal atau mengalami proses pengimbuhan dan pemajmukan.
Berdasarkan contoh di atas, kata main tidak mengalami apa-apa perubahan bentuk.  Ini dinamakan sebagai bentuk tunggal. Kata bermain merupakan bentuk kata yang telah menerima imbuhan iaitu imbuhan ber-. Oleh yang demikian, kata yang menerima apa-apa imbuhan dinamakan sebagai bentuk terbitan. Seterusnya, bentuk main-main adalah bentuk gandaan iaitu kata dasar digandakan bagi menunjukkan perubahan makna. Akhir sekali, kata main mata adalah gabungan dua kata iaitu main dan mata yang membawa satu makna yang baharu. Bentuk dua kata yang hadir serentak seperti main mata dinamakan sebagai bentuk majmuk.
iii.Penggolongan kata
Penggolongan kata merupakan penjenisan kata berasaskan fungsi tatabahasa. Terdapat empat golongan kata iaitu kata nama, kata kerja, kata adjektif dan kata tugas.
Contoh:
Berdasarkan contoh di atas, perkataan bulan, Iman, kedai adalah merujuk kepada nama-nama benda dan ke semua tersebut digolongkan sebagai kata nama. Perkataan baca, menari, tidur merupakan kata yang merujuk kepada perbuatan dan ke semua perkataan tersebut digolongkan sebagai kata kerja. Seterusnya kata rindu, sakit, merah adalah kata kerja merujuk kepada sifat, oleh yang demikian kata tersebut digolongkan sebagai kata adjektif. Akhir sekali, kata tugas yang berfungsi dalam ayat seperti di rumah, akan datang dan sangat comel.
Unit-unit morfologi
Terdapat dua unit morfologi iaitu morfen dan kata. Menurut Asmah Hj. Omar (1993), morfen ialah unit nahu yang terkecil yang mempunyai makna dan terletak pada tingkat paling bawah dalam skala tetingkat nahu. Morfen  boleh dibahagikan kepada dua jenis iaitu morfen bebas dan morfen terikat. Morfen terikat pula dibahagikan kepada tiga jenis iaitu morfen terikat satuan, morfen terikat terbahagi dan morfen terikat kompleks..
Kata boleh dibentuk melalui tiga cara utama iaitu pengimbuhan, pemajmukan dan penggandaan.
Sintaksi
Sintaksis berasal daripada perkataan Yunani iaitu sun yang bermaksud “dengan” dan tattein yang membawa erti “menempatkan bersama-sama”. Dengan demikian, sintaksis dapat diertikan sebagai “menempatkan kata-kata secara bersama-sama untuk menjadi kelompok kata atau ayat”. Kata suntattein kemudian menjadi istilah syntexis dalam bahasa Belanda dan syntax dalam bahasa Inggeris. Menurut Nik Safiah sintaksis merujuk bidang ilmu bahasa yang mengkaji bentuk, struktur dan binaan atau konstruki ayat. Dengan lebih jelas lagi, sintaksis ialah ilmu mengkaji ayat.
i.Binaan ayat
Secara umumnya sebuah ayat mestilah mempunyai sekurang-kurangnya satu subjek iaitu pelaku, dan satu predikat iaitu cerita. Nik Safiah Karim et. al (2009) dan Abdullah Hassan (2006) menyatakan subjek ialah konstituen sama ada terdiri daripada satu perkataan atau beberapa perkataan frasa nama atau yang berfungsi sebagai frasa nama dan menjadi judul atau unsur yang diterangkan. Subjek lazimnya adalah perkara yang diceritakan dan terdiri daripada manusia, benda, tempat atau perkara. Unsur-unsur subjek boleh terdiri daripada frasa nama, kata ganti nama, frasa kerja yang berkuasa nama dan frasa adjektif yang berkuasa nama.
Predikat pula menurut Nik Safiah Karim el.al (2009) adalah merujuk kepada kumpulan perkataan yang tergolong dalam satu frasa dan menjadi unsur yang menerangkan subjek. Oleh itu, predikat merupakan bahagian ayat yang menceritakan perkara tentang manusia, benda , tempat atau perkara yang dinyatakan dalam subjek. Predikat juga terdiri daripada frasa nama, frasa kerja, frasa adjektif dan frasa sendi.
Contoh:
Bil
Subjek
Predikat
1
Iman
seorang doktor           FN
2
Husna
mencuci pinggan        FK
3
Rumah itu
sangat cantik              FA
4
Hadiah itu
daripada ayah             FS

ii.Pola ayat dasar
Ayat dasar atau ayat inti ialah ayat yang menajdi asas pembentukan semua ayat lain. Ayat dasar terhasil melalui gabungan dua frasa. Frasa ialah urutan penempatan jenis kata dalam ayat. Binaan frasa terdiri sekurang-kurangnya satu perkataan yang berpotensi menjadi unit yang lebih besar.
Ayat majmuk
Tatabahasa terdiri daripada dua skop bidang utama iaitu morfologi yang mengkaji pelbagai jenis perkataan seperti struktur ayat, bentuk ayat dan golongan kata. Sintaksis pula menkaji pelbagai perkataan seperti binaan ayat, pola ayat dasar, jenis-jenis ayat, ragam ayat dan ayat majmuk.
ANALISIS KESALAHAN PENGGUNAAN TATABAHASA OLEH MURID DI DALAM BILIK DARJAH.
Bahasa merupakan medium yang penting untuk berhubung sesama manusia. Tanpa bahasa, adalah mustahil bagi komunikasi dua hala berlaku. Bagi memastikan mesej yang hendak disampaikan dapat difahami oleh si penerima, bahasa yang digunakan hendaklah betul. Di Malaysia, Bahasa Melayu merupakan bahasa kebangsaan negara. Bahasa Melayu menjadi bahasa pengantar di kebanyakan sekolah dan institusi pengajian tinggi, serta menjadi bahasa pentadbiran negara dan bahasa perhubungan. Tetapi didapati para pelajar banyak menggunakan konsep tatabahasa yang tidak sesuai atau kurang tepat.
A.      Kesalahan dari segi kata
1.       Kata ganti diri

a.    Kata beliau tidak harus digunakan untuk orang yang tidak dihormati, kanak-kanak dan haiwan.
Contoh:            Aiman dihukum. Beliau ponteng sekolah. (salah)
                         Aiman dihukum. Dia ponteng sekolah. (betul)

b.       Kata dia dan ia tidak boleh digunakan untuk haiwan dan benda.
Contoh:            Baju ini mahal. Dia diimport dari Perancis. (salah)
                         Baju ini mahal. Baju ini diimport dari Perancis.(betul)

c.     Kata kami bermaksud “ saya dan dia”. Kita bermaksud “ anda dengan kami”, “anda dengan saya”.
Contoh:           “Kami mesti memenangi perlawanan ini,” kata Ain kepada Aina. (salah)
                        “Kita mesti memenangi perlawanan ini, “ kata Ain kepada Aina. (betul)

d.       Kata mereka tidak boleh digunakan untuk benda dan binatang.
Contoh:             Buku-buku ini tebal. Mereka Fikry baca. (salah)
                          Buku-buku ini tebal. Buku-buku ini Fikry baca. (betul)

e.       Kata mereka tidak boleh diulang.
Contoh:             Mereka-mereka yang dilanda banjir berada dalam keadaan sihat. (salah)
                          Mereka yang dilanda banjir berada dalam keadaan sihat. (betul)

f.        Kata ganti ia dan nya tidak boleh digabungkan.
Contoh:             Kucing itu mati kerana ianya sakit. (salah)
                          Kucing itu mati kerena  ia / dia sakit. (betul)

2.       Kata bilangan

a.    Kata bilangan seperti setengah-setengah, tiap-tiap, berbagai-bagai dan kedua-dua tidak boleh disingkatkan.
Contoh:             tiap orang (salah)
                          tiap-tiap orang (betul)    
                          kedua orang tua (salah)
                          kedua-dua orang tua (betul)

b.     Kata bilangan tentu seperti satu dua, tiga dan seterusnya tidak boleh didekatkan dengan kata bilangan pecahan seperti suku dan setengah untuk perhitungan.
Contoh:             dua setengah meter (salah)
                          dua meter setengah (betul)
3.        Penjodoh bilangan  

a.      Penjodoh bilangan biasanya digunakan dengan kata bilangan, tetapi ada kalanya penjodoh bilangan tidak perlu digunakan.
Contoh:            setiap orang murid (salah)
                         setiap murid (betul)
                         segala ekor binatang (salah)
                         segala binatang (betul)

b.      Penjodoh bilangan tidak diperlukan untuk menghitung kata nama abstrak.
Contoh:            beberapa buah usul (salah)
                         beberapa usul (betul)
                         pelbagai bentuk teguran (salah)
                         pelbagai teguran (betul)

4.       Kata sendi

a.       Kata dari digunakan untuk tempat dan waktu. Kata daripada digunakan untuk orang.
Contoh:            Nurul datang daripada Lahad Datu. (salah)
                         Nurul datang dari Lahad Datu. (betul)
                         Fizie terima surat dari Elly. (salah0
                         Fizie terima surat daripada Elly. (betul)

b.      Kata di digunakan untuk tempat sahaja. Kata pada digunakan untuk masa, orang, binatang, benda abstrak dan benda konkrit tertentu.
Contoh:            Di musim rambutan, Soleh mendapat banyak wang. (salah)
                         Pada musim rambutan, Soleh mendapat banyak wang. (betul)
                         Anne berkebun pada belakang rumah. (salah)
                         Anne berkebun di belakang rumah. (betul)
                         Buku cerita itu ada dengan Solehah. (salah)
                         Buku cerita itu ada pada Solehah. (betul)

5.       Kata kerja

a.       Kata kerja transitif terbahagi kepada:
·         Kata kerja yang berawalan meN… (melukis, membaca)
·         Kata kerja yang berapitan men….kan (menyanyikan, membesarkan0
·         Kata kerja yang berawalan meng…i (membanjiri, menghadiahi)
·         Kata kerja yang berawalan memper… (memperdaya, memperole)
·         Kata kerja yang berapitan memper…kan (memperhatikan, mempergunakan)
·         Kata kerja yang berapitan memper…i (memperbaharui, memperhalusi)
Semua kata kerja transitif mesti berawalan meN…kecuali makan, minum, minta, mohon.
Contoh:          buang sampah (salah)
                       membuang sampah (betul)

Kata kerja transitif yang berapitan men…kan dan men…i berbagai-bagai maknanya mesti digunakan dengan berhati-hati.
Contoh:           Hakim menjatuhkan hukuman kepada penjenayah itu. (salah)
                        Hakim menjatuhi hukuman kepada penjenayah itu. (betul)

b.       Kata kerja tak transitif terbahagi kepada:
·         Kata kerja asal seperti ada, bangun, duduk
·         Kata kerja berawalan beR… (beradu, beroda)
·         Kata kerja berapitan ber…an (berdekatan, berguguran)
·         Kata kerja yang berapitan ber…an (berpandukan, berlandaskan)
·         Kata kerja yang berawalan meN… (melompat, mendarat)
·         Kata kerja yang berawalan teR… (tertidur, terjatuh)
Kata kerja tak transitif yang berawalan beR, meN dan teR, tidak boleh digugurkan awalannya.
Contoh:           Tanya kepada Umi. (salah)
                        Bertanya kepada Umi. (betul)
                        Jangan lompat. (salah)
                        Jangan melompat . (betul)

6.        Kata hubung

a.         Kata hubung selalu tidak digunakan dengan tepat akibat tidak memahami cara penggunannya.
Contoh:           Budak itu cantik kerana sombong. (salah)
                        Budak itu cantuk tetapi sombong. (betul)
                        Lia bangun tetapi memberikan jawapan. (salah)
                        Lia bangun lalu memberikan jawapan. (betul)

b.     Kata hubung apabila selalu ditulis sebagai bila sedangkan kata bila itu merupakan kata tanya.
Contoh:           Nora termenung bila menerima berita itu. (salah)
                        Nora termenung apabila menerima berita itu. (betul)
                        Pandai-pandailah menjaga diri bila berada di negeri orang. (salah)
                        Pandai-pandailah menjaga diri apabila berada di negeri orang. (betul)

B.       Penggunaan kata yang tidak tepat

a.       Adakah digunakan untuk mendapat jawapan ya atau tidak.
          Apakah digunakan untuk mendapat jawapan mengenai nama haiwan, benda dan perbuatan.
Contoh:           Apakah benar kata-katamu itu? (salah)
                        Adakah benar kata-katamu itu? (betul)

b.        Boleh lebih tepat digunakan dalam hubungan dengan keizinan.
           Dapat lebih sesuai digunakan dalam hubungan dengan keupayaan dan kemampuan.
Contoh:           Syaviellya tidak boleh pergi ke sekolah kerana demam. (salah)
                        Syaviellya tidak dapat pergi ke sekolah kerana demam. (betul)
c.         Bukan digunakan apabila frasa nama menjadi predikat.
            Tidak digunakan apabila frasa adjektif dan frasa nama menjadi predikat.
Contoh:         Basikal ini bukan mahal. (salah)
                      Basikal ini tidak mahal. (betul)

d.        Kata pedalaman bermaksud kawasan yang jauh, manakala kata pendalaman membawa maksud usaha mendalamkan.
Contoh:         Beberapa kawasan pendalaman di Sabah sukar dihubungi. (salah)
                      Beberapa kawasan pedalaman di Sabah sukar dihubungi. (betul)
                      Pedalaman dasar sungai Kinabatangan akan dijalankan. (salah)
                      Pendalam dasar sungai Kinabatangan akan dijalankan. (betul)

C.        Kesalahan dari segi frasa

a.         Frasa nama (bentuk jamak dan hukum DM)
i.          Bentuk jamak dapat dinyatakan melalui:
1.        Pengulangan kata nama seperti guru-guru, murid-murid, pekerja-pekerja (contoh).

ii.         Jika kata bilangan yang membawa makna jamak digunakan, kata nama yang menyertai kata bilangan itu tidak perlu diulang.
2.        Pengulangan kata bilangan seperti dua biji telur, semua murid, para pendidik (contoh).

iii.        Oleh sebab kata adjektif yang diulang sudah membawa maksud jamak, maka kata nama tidak perlu diulang.
3.         Pengulangan kata adjektif seperti baik-baik, rajin-rajin, cantik-cantik (contoh).

iv.         Hukum DM ialah hukum tentang menyusun kata-kata untuk membentuk frasa nama dalam ayat.
.             D bererti unsur yang diterangkan.
              M bererti unsur yang menerangkan
Contoh:           lain-lain hal (salah)
                        hal-hal lain (betul)
                        Mus Kedai Roti (salah)
                        Kedai Roti Mus (betul)
                        goreng pisang (salah)
                        pisang goreng (betul)

b.        Frasa Adjektif
i.         Frasa adjektif ialah kata adjektif atau sekumpulan kata yang mempunyai kata adjektif sebagai kata utamanya dan dapat bertugas sebagai predikat dalam ayat.
ii.        Frasa adjektif sebagai predikat ayat boleh disertakan kata penguat seperti amat, sangat dan paling.
iii.       Kata adjektif yang berawalan teR.. boleh bertugas sebagai penerang tetapi tidak boleh bertugas sebagai predikat.
Contoh:           Bangunan itu tertinggi. (salah)
                        Bangunan itu paling tinggi. (betul)
iv.       Apabila kata adjektif berawalan teR..digunakan sebagai penerang, kata penguat tidak diperlukan.
Contoh:           Itulah gunung yang tertinggi sekali di dunia. (salah)
                        Itulah gunung yang tertinggi di dunia. (betul)
v.        Kata penguat tidak boleh diletakkan di depan atau di belakang kata adjektif sekaligus.
Contoh:           Budak itulah yang paling nakal sekali. (salah)
                        Budak itulah yang paling nakal. (betul)
vi.       Frasa adjektif mesti diikuti oleh frasa sendi apabila frasa adjektif itu diperluas.
Contoh:           Ayah tidak suka duriain. (salah)
                        Ayah tidak suka akan durian. (betul)

c.        Frasa kerja transitif
i.         Frasa kerja transitif ialah frasa kerja yang terdiri daripada kata kerja transitif serta frasa nama sebagi objek kepada kata kerja transitif.
ii.        Di antara kata kerja transitif dengan frasa nama sebagi objek itu, kata-kata lain tidak boleh disisipkan.
Contoh:           Beliau turut menyentuh tentang perkara itu. (salah)
                        Beliau turut menyentuh perkara itu. (betul)

d.       Frasa kerja tak transitif
i.        Frasa kerja tak transitif ialah kata kerja yang dapat bertugas sebagai predikat tanpa objek.
ii.       Frasa kerja tak transitif boleh juga terdiri daripada sekumpulan kata yang mempunyai kata kerja transitif sebagai kata utamanya.
iii.       Kata kerja tak transitif yang berapitan ber…kan mestibdiikuti oleh frasa nama untuk dapat membentuk frasa kerja yang bertugas sebagai predikat.
Contoh:            berlandaskan pada undang-undang (salah)
                         berlandaskan undang-undang (betul)
                         berbantalkan dengan lengan (salah)
                         berbantalkan lengan (betul)

d.       Frasa kerja pasif
          Frasa kerja pasif ialah frasa kerja yang bertugas sebagai predikat dalam ayat pasif.
i.    Frasa kerja pasif diri pertama ialah frasa yang terdiri daripada kata kerja yang tidak berawalan meN… tetapi didahului oleh kata ganti diri pertama aku, kami, kita, saya dan sebaginya.
Contoh:           diambil olehku (salah)
                        kuambil (betul)
ii.     Frasa kerja pasif diri kedua ialah frasa yang terdiri daripada kata kerja yang tidak berawalan meN… tetapi didahului oleh kata ganti diri kedua anda, awak, kamu dan sebaginya.
Contoh:           ditanya oleh anda (salah)
                        anda tanya (betul)
ii.      Frasa kerja pasif diri ketiga ialah frasa yang terdiri daripada kata kerja berawalan di.. serta diikuti oleh frasa sendi ( oleh + frasa nama ). Kata oleh pada frasa sendi itu boleh digugurkan.
Contoh:           beliau tulis (salah)
                        ditulis oleh beliau (betul)

B.        Kesalahan dari segi struktut ayat

a.         Ayat gabungan
Contoh:          Hadiah ini untuk Iman bukan Aiman. (salah)
                       Hadiah ini untuk Iman bukan untuk Aiman. (betul)

b.        Ayat pancangan
Contoh:          Rumah itu di atas bukit tidak ada penghuninya. (salah)
                       Rumah di atas bukit itu tidak ada penghuninya. (betul)

c.         Ayat tergantung
Contoh:          Kerana hal itu akan dibencangkan. (salah)
                       Hal itu akan dibincangkan. (betul)


RUMUSAN
Penggunaan tatabahasa yang tidak betul menyukarkan pelajar berkomunikasi atau menulis dengan baik. Dalam pembelajaran tatabahasa, pelajar harus mempelajari tatabahasa dengan memikirkan bahawa pembelajaran paradigma, pola, rajah-rajah tertentu sebagai tujuan pembelajaran itu sendiri, maka itulah yang dikuasai oleh pelajar. Sekiranya mereka mempelajari segala rumusan tatabahasa, pola dan paradigm-paradigma tersebut dengan maksud untuk menyampaikan pemikiran dan mesej dengan memilih kata nama, kata kerja atau kata sifat tertentu, maka pelajar akan dapat mempelajari dan menggunakan tatabahasa dengan betul.Pembelajaran bahasa perlulah mencari satu sistem tatabahasa yang dapat menjelaskan struktur bahasa supaya pelajar dapat menggunakan tatabahasa untuk menghasilkan ujaran sendiri. Selain daripada itu, pengetahuan mengenai tatabahasa biasanya menjadi asas di dalam logik. Pelajar yang dapat mengetahui tatabahasa akan dapat menyusun hujah-hujah di dalam bahasa yang rapi. Kefahaman tatabahasa juga membolehkan pelajar bertutur dengan lancer, terang dan mudah difahami. Kefahaman tatabahasa juga membolehkan pelajar dapat memahami dengan lebih jelas akan pengertian sesuatu perkataan atau ayat dengan menganalisis kedudukannya dan membolahkan pelajar menentukan sama ada sesuatu ayat itu betul atau tidak mengikut rumus tatabahasa.


6 ulasan:

  1. bla bca blog ni rsa cam nak jaD cigu pulak...

    BalasPadam
  2. mohon izin ambil maklumat ni ya... nice... tq

    BalasPadam
  3. Terima kasih kepada yang sudi singgah di blog saya...

    BalasPadam
  4. Mohon izin ambil maklumat yang diatas ye.....

    BalasPadam
  5. minta izin nak ambil maklumatnya ya. minta halalkan. terima kasih banyak2

    BalasPadam
  6. mohon meminta izin untuk mengambil maklumat ya. terima kasih banyak banyak.

    BalasPadam

Leave a comment if you want