PENGENALAN
1.0 DEFINISI KAJIAN
TINDAKAN
Menurut Marion Dadds dalam bukunya
yang bertajuk Passionate Enquiry and School Development: A Story About Teacher
Action Research, definisi kajian tindakan bermaksud sesuatu yang berorentasikan
kepada perubahan, berorentasikan kepada melakukan sesuatu yang berguna dengan
menggunakan pengetahuan yang telah diperolehi melalui proses-proses kajian.
Paradigma kajian tindakan ialah usaha atau percubaan untuk memperbaiki fenomena
atau masalah yang berlaku di persekitaran sendiri (Bassey, 1990).
Kajian tindakan juga adalah merupakan
satu pendekatan untuk memperbaiki atau meningkatkan pendidikan melalui
perubahan yang menggalakkan guru-guru menjadi lebih sedar, kritis dan bersedia
untuk mengubah amalan-amalannya. Usaha guru untuk
memperbaiki pengajaran mereka secara sistematik melalui kitaran yang melibatkan
proses perancangan, pelaksanaan, pemerhatian dan refleksi (Kember & Gow,
1992). Kajian di dalam bilik darjah yang dilakukan oleh guru-guru bagi
membolehkan mereka meneroka isu-isu pengajaran bagi menambahbaikkan amalan
tersebut (Cochran-Smith Lytle, 1990).
Kajian tindakan juga
adalah satu kajian yang sistematik oleh sekumpulan guru untuk mengubah dan
memperbaiki amalan pendidikan melalui tindakan mereka sendiri serta refleksi
terhadap kesan atau akibat tindakan tersebut (Ebbut, 1985). Satu pendekatan
untuk memperbaiki atau meningkatkan kualiti pendidikan melalui perubahan dengan
menggalakkan guru-guru menjadi lebih sedar tentang amalan mereka sendiri,
menjadi kritis terhadap amalan tersebut, serta bersedia untuk mengubah (McNiff,
1988).
2.0 KAJIAN TINDAKAN
MENGKAJI PUNCA MASALAH
TULISAN TIDAK KEMAS
2.1 REFLEKSI
Masalah tulisan yang tidak
kemas bagi beberapa orang pelajar Tahun 1 menyebabkan hasil tulisan tidak boleh
dibaca, mengandungi banyak kesalahan bentuk-bentuk huruf, tidak meletakkan
tanda baca di tempat yang betul dan menulis perkataan bercampur huruf besar dan
huruf kecil.
2.2 ISU KEPRIHATINAN / FOKUS KAJIAN
Saya mendapati beberapa
orang pelajar LINUS dan LINUS TEGAR mengalami masalah tulisan. Tulisan
pelajar-pelajar ini tidak kemas, bengkang-bengkok, tidak menulis mengikut
garisan yang terdapat pada buku latihan dan saiz antara perkataan tidak sama.
Tulisan pelajar-pelajar ini sukar dibaca. Antara gaya penulisan yang sering
didapati di kalangan pelajar-pelajar ialah cara memegang pensel yang tidak
betul, kedudukan tangan dan buku yang tidak betul, dan cara duduk yang tidak
betul. Oleh yang demikian, pelajar-pelajar ini akan membentuk tulisan yang
tidak betul seperti saiz antara perkataan yang tidak konsisten, ruang antara
perkataan yang tidak sesuai, tidak dapat menulis perkataan dengan betul dan
tidak meletakkan huruf besar dan tanda baca di tempat yang betul.
2.3 OBJEKTIF KAJIAN
2.3.1 Objektif Am
Kajian ini dilaksanakan
bertujuan mengkaji punca masalah tulisan yang tidak kemas beberapa orang murid
LINUS dan LINUS TEGAR. Kajian ini dijalankan untuk mengenalpasti masalah
penulisan yang dihadapi oleh pelajar-pelajar yang menunjukkan mereka kurang
peka terhadap kepentingan bentuk-bentuk huruf semasa menulis. Tulisan
pelajar-pelajar ini tidak kemas, bengkang-bengkok dan tidak boleh dibaca, tidak
menulis mengikut garisan yang terdapat dalam buku latihan, saiz antara
perkataan tidak sama, menulis perkataan tidak dijarakkan dan menulis perkataan
bercampur huruf besar dan huruf kecil
2.3.2 Objektif Khusus
Kajian ini bertujuan untuk
membantu pelajar-pelajar menulis melalui peringkat-peringkat penulisan dalam
mata pelajaran bahasa Malaysia iaitu aktiviti pratulisan, peringkat mekanis dan
peringkat pelahiran. Peringkat pertama iaitu pratulisan adalah tempoh masa
pelajar-pelajar disediakan dengan aktiviti menulis sebelum mereka dapat menulis
huruf-huruf dengan betul dan kemas. Peringkat kedua ialah peringkat pratulisan
iaitu dengan melakukan beberapa aktiviti berkaitan seperti cara memegang pensel
dengan betul, kedudukan tangan dan buku dengan betul, cara duduk yang betul. Peringkat
ketiga ialah peringkat menulis untuk pelahiran, iaitu setelah pelajar-pelajar
menguasai penulisan mekanis, pelajar-pelajar akan digalakkan melahirkan fikiran
mereka secara bertulis.
2.4 KUMPULAN SASARAN
5 orang pelajar LINUS
7 orang pelajar LINUS TEGAR
2.5 PELAKSANAAN KAJIAN
Kajian tindakan ini
melibatkan empat fasa iaitu fasa tinjauan masalah, fasa analisis tinjauan
masalah, fasa tindakan dan fasa refleksi. Kajian ini dijalankan semasa sesi
pengajaran dan pembelajaran setiap hari.
2.6 TINJAUAN MASALAH
2.6.1 Teknik Mengumpul Data
Terdapat beberapa teknik
pengumpulan data yang digunakan untuk menghasilkan data deskriptif yang lebih
menyeluruh tentang proses yang berlaku dalam kajian ini. Untuk tujuan tersebut,
tiga teknik utama yang biasa digunakan dalam kajian tindakan ini iaitu:
(1) Pemerhatian
Untuk mengkaji dan
memahami proses yang berlaku di dalam bilik darjah, pemerhatian merupakan
teknik berkesan dalam pengumpulan data. Lazimnya, dalam pemerhatian, saya
melihat, mendengar memerhati dan bersoal jawab untuk mendapatkan maklumat serta
untuk memahami apa yang berlaku di dalam bilik darjah. Melalui pemerhatian
hubungan saya dan pelajar-pelajar dapat dirapatkan.
(2) Temubual
Saya juga menggunakan
teknik temubual. Temubual melibatkan komunikasi dua hala di antara pelajar dan
guru serta guru dan guru. Saya menemubual pelajar-pelajar terlibat dan
guru-guru mata pelajaran untuk mendapatkan maklumat.
(3) Bukti Dokumen
Data
juga diperolehi melalui dokumen. Pengumpulan data daripada dokumen ini
membolehkan saya menambah, membandingkan dan memperkukuhkan lagi data-data yang
diperolehi daripada teknik pemerhatian dan teknik temubual. Dokumen ini
dianalisis untuk melihat bentuk,
pola dan trend yang
berlaku selain menyediakan bukti kukuh untuk menguatkan kreadibiliti teknik
temu bual dan pemerhatian. Dokumen yang dimaksudkan ialah hasil kerja pelajar.
(4) Teknik Menganalisis
Data
Data yang diperolehi iaitu
hasil kerja pelajar-pelajar dianalisis untuk mengetahui bentuk tulisan yang
tidak boleh dibaca.
2.7 TINDAKAN YANG DICADANGKAN
2.7.1 PRATULISAN
Peringkat pertama iaitu
pratulisan adalah tempoh masa pelajar-pelajar disediakan dengan aktiviti
menulis sebelum mereka dapat menulis huruf-huruf dengan betul dan kemas. Dalam
tempoh masa ini, latihan otot-otot tangan dan jari serta koordinasi tangan dan
mata dilaksanakan dalam kalangan pelajar-pelajar dari awal-awal lagi. Bagi
membolehkan mereka menguasai kemahiran membentuk lambang-lambang yang kemas dan
jelas, pelajaran tulisan yang dirancang haruslah sistematik, bertitik-tolak
daripada aktiviti-aktiviti pratulisan yang terbentuk bebas.
Latihan-latihan
pratulisan menitikberatkan beberapa perkara seperti melakukan latihan-latihan
pergerakan tangan terlebih dahulu seperti menggerakkan jari di atas garisan
atau corak yang dilakarkan pada kertas, menggerakkan jari di udara, di atas
meja atau lantai, di atas pasir atau tanah tanpa menggunakan alat tulis dengan
membentuk corak atau huruf-huruf yang ditentukan. Tujuannya supaya
pelajar-pelajar dapat menguasai gerak tangan dan jari yang bebas untuk menulis
dengan selesa dan sempurna. Di samping itu juga, pelajar-pelajar boleh
melakukan latihan pergerakan jari dengan memainkan jari, menekan jari, mengurut
jari, meramas-ramas jari, mengoyang-goyangkan jari dan sebagainya. Setelah mahir
dalam aktiviti ini, pelajar-pelajar diperkukuhkan lagi dengan melakukan
latihan-latihan pergerakan mata dengan melakukan beberapa pergerakan yang
melibatkan koordinasi mata dan tangan. Antara aktiviti-aktiviti yang dilakukan
ialah latihan mengikut garisan-garisan rajah atau gambar dari kiri ke kanan,
latihan membentuk garisan lurus, latihan mewarnakan gambar berbentuk mudah dari
kiri ke kanan atau kanan ke kiri, seterusnya membentuk corak-corak gabungan
antara bulatan dan garis lurus secara bebas. Bahasa bertulis memerlukan
perhubungan dengan bahasa dalam diri penulis atau dalam fikirannya. Perihal
menghubungkan bahasa lisan dengan bahasa fikiran
adalah terlalu sukar,
dengan sebab itu, maka usaha pengajaran permulaan penulisan biasanya terlalu
susah walaupun pelajar-pelajar tidak mengalami kesukaran dalam membentuk huruf.
2.7.2
TULISAN MEKANIS
Peringkat kedua ialah
peringkat tulisan mekanis iaitu dengan melakukan beberapa aktiviti berkaitan
seperti cara memegang pensel dengan betul, kedudukan tangan dan buku dengan
betul, cara duduk yang betul. Di samping itu,
pelajar-pelajar akan diarahkan menyambung garisan-garisan putus yang
membentuk huruf-huruf, menconteng secara bebas, membentuk secara bebas, melukis
dan mewarna. Pelajar-pelajar diarahkan membentuk huruf di dalam kertas kosong
yang tidak mempunyai sebarang garisan, menulis huruf di atas satu garisan,
menulis huruf di atas dua garisan dan menulis huruf di atas tiga garisan. Bagi
membentuk tulisan yang betul, tiga garisan digunakan sepenuhnya termasuk membuat
latih-tubi tulisan. Seterusnya pelajar-pelajar akan diarahkan menulis perkataan
dari bawah ke atas. Cara penulisan ini akan menambahkan tumpuan atau fokus pada
hasil kerja mereka. Aktiviti ini juga akan memperlahankan tangan dan menambah
tumpuan untuk membentuk huruf yang betul dan kemas.Pelajar-pelajar akan
diperkenalkan kepada lambang-lambang huruf dengan menggunakan gambar. Selain
daripada itu, pelajar-pelajar boleh menekap dan menulis mengikut urutan huruf
yang ditetapkan, kemudian, pelajar-pelajar diarahkan memadan dan menyalin dua
suku kata supaya menjadi perkataan bermakna, menulis huruf yang tertinggal di
dalam ruang atau petak yang dikosongkan. Latihan ini diteruskan dengan menyalin
perkataan dan ayat-ayat yang mudah.
2.7.3
PERINGKAT PELAHIRAN
Peringkat
ketiga ialah peringkat menulis untuk pelahiran, iaitu setelah pelajar-pelajar
menguasai penulisan mekanis, pelajar-pelajar akan digalakkan melahirkan fikiran
mereka secara bertulis. Aktiviti-aktiviti yang berkaitan ialah menulis
berpandukan gambar-gambar dan perkataan, mengisi tempat kosong, melengkapkan
ayat-ayat dengan perkataan,, dan membina perenggan ayat. Selain daripada itu, aktivit-aktiviti menulis yang boleh dijalankan
adalah seperti mengisi teka silang kata,
mengisi tempat kosong dalam ayat, melengkapkan ayat dengan menambah rangkai
kata yang sesuai dan menulis ayat yang lengkap dengan perkataan yang diberi.
Seterusnya, aktiviti seperti memanjangkan ayat dengan menambahkan rangka kata
yang sesuai juga boleh dilakukan, membentuk ayat-ayat bagi menyudahkan cerita,
menulis ayat berdasarkan gambar yang disediakan, menulis jawapan-jawapan
kefahaman, menulis rencana daripada bahan yang diperlihatkan dan menulis
karangan daripada tajuk yang disediakan.
2.8 REFLEKSI KESELURUHAN
Setelah semua aktiviti dijalankan mengikut langkah yang telah
ditetapkan, pencapaian pelajar-pelajar dapat dilihat. Pelajar-pelajar memahami
konsep kepentingan bentuk sesuatu tulisan. Pelajar-pelajar yang dibimbing
berjaya mengubah tulisan sedikit demi sedikit. Hasilnya 5 pelajar LINUS berjaya
menulis dengan betul, teratur dan kemas, manakala pelajar LINUS TEGAR
pencapaian mereka di peringkat sederhana.
2.9
CADANGAN UNTUK KAJIAN SETERUSNYA
Untuk kajian seterusnya, saya mencadangkan untuk mengajar
tulisan mengikut tiga peringkat iaitu pratulisan, tulisan mekanis dan tulisan
pelahiran.
3.0
RUMUSAN
Untuk melakukan kajian
tindakan tidak semestinya dengan adanya masalah. Dalam mengenalpasti masalah
kajian tindakan, apa-apa idea atau isu pun boleh digunakan tetapi ia hendaklah
sesuatu yang bertujuan untuk penambahbaikan, contohnya berkaitan dengan
perkembangan sekolah, pencapaian sekolah, misi sekolah atau mengenai
perkembangan percapaian diri dan juga profesion perguruan.
Selain daripada untuk
meningkatkan proses pengajaran dan pembelajaran, untuk mengenalpasti masalah,
idea-idea atau isu-isu hendaklah dicatat terlabih dahulu tetapi isu-isu yang
dipilih hendaklah bukan sesuatu isu yang memang tidak boleh diubah, contohnya
isu buku teks dalam tempoh yang singkat dan sebagainya. Isu yang dipilih
hendaklah spesifik dan dalam skop yang kecil sahaja.
Permasalahan kajian
tindakan ini juga boleh dikenalpasti melalui refleksi yang dilakukan di dalam
bilik darjah. Apabila terdapat sesuatu isu yang difokuskan, guru hendaklah
mengemukakan soalan-soalan bagi tujuan penyelesaian masalah tersebut.
Walaubagaimana pun, guru boleh melakukan hipotesis jika terdapat isu yang lebih
spesifik yang telah dikenalpasti.
membuat hipotesis
seterusnya melakukan kajian tindakan untuk menilai kebenaran hipotesis
tersebut.